Sunday, May 16, 2010

cakna

ISMA kesal tindakan kerajaan lulus lesen pertaruhan Piala Dunia



Bandar Baru Bangi, 14 Mei – “Kerajaan telah melakukan kesilapan yang serius apabila dengan rasmi melakukan pencabulan terhadap nilai dan prinsip yang menjadi dasar negara dan pegangan masyarakatnya sendiri dengan meluluskan pemberian lesen pertaruhan perlawanan bolasepak Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan Berjaya,” demikian tegas Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.



Sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai berani tidak bertempat, beliau seterusnya menambah “Tindakan ini seolah-olah sengaja mencabar sensitiviti umat Islam dan memijak kehormatan hukum Islam.”



Ustaz Abdullah Zaik seterusnya mempersolkan, “Apakah bezanya judi yang dihalalkan oleh kerajaan dengan judi yang diharamkan oleh kerajaan? Tidakkah semuanya akan membawa kemudharatan kepada kesejahteraan hidup masyarakat?”



“ISMA dengan ini merakamkan rasa kesal yang tidak terhingga kerana harapan dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat telah diabaikan dengan begitu sahaja,” tambahnya lagi.



Berikut adalah kenyataan penuh daripada ISMA:



ISMA BERANGGAPAN KERAJAAN TELAH MELAKUKAN KESILAPAN SERIUS DENGAN MELULUSKAN LESEN PERTARUHAN SEMPENA PIALA DUNIA



Tindakan kerajaan meneruskan keputusan memberikan lesen judi kepada Kumpulan BERJAYA milik Vincent Tan merupakan satu sikap berani yang tidak bertempat. Walaupun ia dibantah oleh banyak pihak, kerajaan belum menunjukkan tanda akan menarik balik keputusan itu.



Ini kerana kerajaan dengan tindakan tersebut, seperti sengaja mencabar sensitiviti umat Islam dan memijak kehormatan hukum Islam. Adalah sangat memalukan perkara seperti ini dilakukan oleh sebuah kerajaan yang majoritinya beragama Islam.



Kerajaan dengan itu telah menguburkan kepercayaan masyarakat Islam terhadap dirinya sebagai pihak berkuasa yang dipercayai dan diberi mandat untuk mempertahankan agama dan maruah umat Islam.



ISMA merakamkan rasa kesal yang tidak terhingga kerana harapan dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat telah diabaikan dengan begitu sahaja.



Adakah keuntungan besar yang diharapkan oleh kerajaan daripada sumber pendapatan yang haram telah menjadikannya tersasar dari norma sebagai sebuah pemerintah yang berintegriti?



Bagi ISMA ia bukan sekadar haram tetapi yang lebih berbahaya dari itu ialah kerajaan sendiri yang sepatutnya beramanah dalam menjaga dan memelihara kepentingan umum telah sanggup mencariknya dengan pulangan yang tidak seberapa.



Apa bezanya judi yang dihalalkan oleh kerajaan dengan judi yang diharamkan oleh kerajaan? Tidakkah semuanya akan membawa kemudharatan kepada kesejahteraan hidup masyarakat?



ISMA beranggapan kerajaan telah melakukan kesilapan yang serius apabila dengan rasmi melakukan pencabulan terhadap nilai dan prinsip yang menjadi dasar negara dan pegangan masyarakatnya sendiri.



Yang benar,





Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,

Presiden,

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

No comments: