Friday, April 30, 2010

Niat dan Jalan Ikhlas..

kehidupan orang yang ikhlas tidak akan menempuh apa-apa yang mendukacitakan. Sebab mereka sentiasa redha dan bahagia dengan pelbagai kurniaan kebaikan dan keredhaan yang Allah mahu dan tentukan. Bukannya yang orang lain mahu atau tentukan buat mereka.






Niat merupakan gerak hati yang ruang lingkupnya luas. Ia perlu berkekalan dijaga sama ada sebelum memulakan sesuatu ibadat, semasa melakukannya ataupun setelah selesai beribadah. Gerak hati juga menentukan keikhlasan niat seseorang dalam beramal. Hanya amal yang ikhlas sahaja boleh dikatakan sebagai sebaik-baik dan sesempurna ibadat.



Keikhlasan hanya tercapi jika hati tenggelam dalam mengingati Allah dan merasakan diri tidak ada daya dan kekuatan. Sesungguhnya tingkatan amal itu ada tiga peringkat.Peringkat pertama ialah amal orang awam (iaitu Tingkatan Islam). Keduanya ialah amal orang khawwas (iaitu Tingkatan Iman) dan ketiganya, amal oaring khawasul khawas (iaitu Tingkatan Ihsan).



Daripada ketiga-tiga tingkatan amal ini, amalan orang khawasul khawasdikatakan Berjaya mencapai tingkat amal yang ikhlas. Contoh terbaik amalan ikhlas ialah semua amal Rasulullah SAW yang merupakan sebaik-baik dan sehabis sempurna amalan. Walaupun demikian, Rasulullah SAW sangat malu dan tawaduk kepada Allah SWT. Baginda sangat malu kerana merasa amal baginda tidak sempurna.



Apakah rahsia sebenar yang membolehkan Nabi SAW dapat sepenuh keikhlasan dalam beribadat? Jawapannya tersimpul dalam pengakuan Nabi SAW sebagaimana sabda baginda:“Aku adalah orang yang paling kenal Allah dari kalangan kamu. Dan aku juga paling takut kepada Allah dari kalangan kamu. Aku paling tidak tahu apakah yang Allah akan lakukan pada diriku”



Dalam hadith yang lain daripada Sayidatina Aisyah r.ha. bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya orang yang paling taqwa (takut) dan paling kenal tentang Allah dari kamu sekalian adalah saya.”(Riwayat Bukhari)



Oleh itu, dapat difahami bahawa terdapat empat sebab mengapa ibadat Nabi SAW berjaya mencapai keikhlasan yang begiitu tinggi, iaitu:



1. Ketinggian makrifah kepada Allah.



Nabi SAW bersabda: “Aku paling kenal Allah.” Ertinya, Nabi Muhammad SAW paling arif dan tinggi iman makrifah kepada Allah berbanding sesiapa pun. Kenal Allah itu adalah dengan hati. Ia berbeza dengan ilmu atau tahu tentang Allah yang hanya dapat dicapai menggunakan akal fikiran. Satu lagi perbezaannya ialah ilmu tentang disampaikan melalui perantara manusia ataupun kitab. Sedangkan iman makrifah atau kenal Allah itu disampaikan ke dalam hati secara ‘laduni’ oleh Allah SWT.



Justeru, untuk mendapat ilmu dan kefahaman tentang Allah, maka diperlukan akal yang cerdas. Tetapi untuk mendapat makrifah Allah maka diperlukan hati yang bersih daripada dosa dan selain kehendak Allah (Masi-wallah) iaitu hati yang telah dihidupkan oleh Allah dan diilhamkan cahaya khusus oleh Allah (sebagaimana maksud ayat 122, Surah Al-An’am)



2. Keadaan hati Nabi SAW yang sangat takut kepada Allah.



Baginda Nabi SAW adalah seorang yang sentiasa taku kerana dapat merasakan kebesaran dan keagungan Allah SWT. Apabila hati dapat merasakan demikian maka datang taat untuk mengagungkan syiar Allah dengan menjunjung segala titah perintah Allah dengan sebaik-baiknya sehinggakan semua perintah menjadi sangat penting dan mustahak. Firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu lahir daripada hati yang benar-benar takut kepada Allah” (Al-hajj: 32)



3. Nabi SAW sentiasa memandang kepada kesempurnaan Allah SWT.



Nabi Muhammad SAW tidak pandang pada amal baginda. Malah tidak memandang pada kedudukan baginda yang bersifat maksum itu. Ini dapat dilihat daripada pengakuan Nabi SAW bahawa baginda tidak tahu apa yang Allah akan lakukan kepada diri baginda. Walaupun telah berjaya melaksanakan ibadah dengan sempurna tanpa cacat-cela kerana baginda terpelihara daripada dosa dan kesilapan, namun Nabi SAW masih rasa tidak selesa.



4. Nabi SAW sentiasa ingat kepada Allah SWT.



Hati Nabi SAW terus-menerus sibuk dengan zikrullah sebagaimana baginda pernah bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua mataku menidurkan aku tetapi hatiku tidak tidur.”



Persoalannya, bagaimana Nabi Muhammad SAW boleh dapat semua ini? Asasnya ialah kerana Nabi SAW dapat sentiasa ingat kepada Allah. Dalam hati baginda Nabi SAW sentiasa terasa wujudnya Allah, dan terasa kehebatan-NYA serta kesempurnaan-Nya. Dengan sebab itu, Rasulullah SAW diberi gelaran sebagai ‘hamba-Nya’. Gelaran ini diberi atas kejayaan baginda dapat beramal dengan sebaik-baik ibadah yakni dengan ikhlas.



Terbuka Kepada Umat Muhammad



Hal demikian bukan suatu yang khusus untuk baginda sahaja. Tetapi boleh diusahakan oleh umat baginda. Andainya tidak, masakan Allah SWT menyarankan dalam firman-Nya:“Hendaklah kamu berdoa (dan beribadah) kepada Allah dalam keadaan hati kamu berasa takut (tidak akan diterima) dan bergantung harap kepada Allah (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah itu amat dekat kepada orang yang berbuat baik.” (Al-A’raf: Aya 56)



Para sahabat Nabi SAW yang tergolong dalam golongan khawas juga telah berjaya melakukannya. Mereka sangat kuat beribadah dan berdoa sambil keadaan hati sentiasa ingat Allah, telah mendapt pujian Allah sebagaimana firman-Nya:“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya dan mereka selalu berdoa kepada rabbnya dengan penuh rasa takut dan harap, serta mereka menafkahkan apa-apa rezeki yang Kami berikan.” (As-Sajadah: Ayat 16)



Jadi, untuk mendapat sebaik-baik ibadah yakni mendapat ikhlas , maka perlu mengikut jejak Rasulullah SAW dengan benar-benar menjadi hamba Allah. Untuk menjadi hamba Allah, umat baginda perlu mendapat hidayah dari Allah. Untuk mendapat hidayah dan taufik pula perlu bermula dengan bermujahadah agar istiqamah menempuh empat syarat iaitu:



• Memperbaharui taubat

• Memperteguhkan keimanan

• Memperkemaskan amal soleh

• Memperbanyak zikrullah secara berterusan sepanjang masa dalam apa juga keadaan.



Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: “Katakanlah (Wahai Muhammad): Sesungguhnya Allah Taala menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan Allah akan menunjuki (member hidayat) orang-orang yang kembali bertaubat kepada-Nya. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram (mutmainnah). Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik.”(Al-Ra’adu: Ayat 27-29)



Difahamkan daripada ayat ini bahawa jalan untuk seseorang itu mendapat hiayat yang khusus maka perlu bermula dengan sentiasa bertaubat dari semua dosa atau maksiat lahir dan batin. Kemudian kuatkan iman sambil melakukan amal soleh dan akhirnya terus-menerus memperbanyakkan zikrullah.



Apabila ada kesungguhan dan istiqamah melaksanakan empat perkara ini maka kesan awalnya ialah hati akan tenteram atau beroleh mutmainnah dengan zikir. Hati menjadi tenteram kerana dapat merasakan kewujudan Allah, keagungan-Nya dan kesempurnaan-Nya.



Jemputan Secara Eksklusif



Apabila hati telah mutmainnah maka barulah Allah SWT akan kurniakan hidayat yang khusus kepada orang itu. Sekaligus Allah akan menjemputnya secara eksklusif menjadi hamba-Nya. Hal ini sebagaimana Allah SWT firmankan: “Wahai nafs (hati atau jiwa) yang mutmainnah, kembalilah kamu kepada Tuhanmu dalam keadaan redha lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam kumpulan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-ku.” (Al-Fajr: Ayat 27-30)



Firman Allah SWT ini bukanlah ditujukan kepada hati orang yang sudah meninggal dunia sahaja, tetapi ditujukan juga kepada setiap hati mutmainnah termasuk mereka yang masih hidup.



Kurniaan rahmat seterusnya ialah rohnya kembali kepada keadaan sebagaimana ketika bertemu Allah (musyahadah kepada Allah) sebelum dimasukkan ke dalam jasad lahir.



Dengan keadaan demikian dia dapat kenal kembali akan Allah SWT sebagaimana dahulu. Ketika itu dia redha Allah menjadi Tuhannya. Firman Allah: “Wahai sekalian roh! Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Maka jawab para roh manusia: Bahkan (sebenarnya)! Engkaulah Tuhan kami, kami saksikan (mengaku).” (Al-A’raf: Ayat 72)



Untuk tujuan itu, dengan rahmat Allah juga rohnya akan dibukakan hijab sehingga hatinya dapat musyahadah terhadap wujudnya Allah. Inilah antara hakikat dan makrifat Allah SWT yang Allah sampaikan dalam bentuk laduni. Ia sebagai tanda Allah meredhai dirinya. Orang yang mendapat hidayat khusus ini, dia akan redha Allah menjadi Tuhannya. Dan Allah pula redha ia menjadi hamba-Nya yang sebenar dan tidak menjadi hamba kepada selain Allah.



Setelah mendapat redha Allah dengan diiktirafkan tergolong dalam golongan hamba-Nya yang sebenar maka menjadi mudahlah orang itu menjadi orang Muhsin atau diistilahkan juga sebagai Ulul Albab. Mereka ini apabila beramal akan akan dapat ikhlas an berbuat sebaik-baik amal ibadat seperti Allah SWT sebutkan dalam firman-Nya: “Oleh itu (wahai Muhammad), sammpaikanlah khabar yang menggembirakan kepada hamba-hamba-Ku. (Para hamba-Ku itu) iaitu mereka yang berusaha mendengar perkataan (pengajaran Al-Quraan) lalu mereka berbuat yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah dari golongan Ulul Albab.” (Al-Zumar: Ayat 17-18)



Memahami hal ini dan meyakini bahawa Allah pasti akan beri hidayat kepada orang-orang yang kembali kepada-Nya, golongan sufi dengan bersungguh-sungguh menumpukan usaha mereka meneguhkan iman, memperbaiki amal soleh dan seterusnya memperbanyakkan zikrullah untuk mendapat hidayat khusus dari Allah. Mereka banyak berkhalwat untuk menghampirkan diri kepada Allah, menyedikitkan makan dan menjauhkan diri daripada bergaul dengan sesetengah orang yang bodoh serta alim ulama yang tiada beradab.



Zikir itu banyak pilihannya. Namun sebaik-baik zikir sebutan dengan lidah itu ialah dengan kalimah ‘Laa ilaha illallah’. Ia juga disebut sebagai sebaik-baik doa. Sementara sebaik-baik zikir senyap yang disebut di dalam hati pula ialah kalimah‘Allah’. Demikian menurut pendapat Syeikh Fahrurradzi r.hm.



Oleh itu, dapat difahami bahawa untuk mendapat keikhlasan dalam beramal maka perlu melengkapkan diri sehingga berjaya mendapat hidayat khusus dari Allah agar digolongkan-Nya ke dalam kalangan hamba Allah yang sebenar. Apabila sudah masuk dan tergolong menjadi hamba-hamba Allah, maka amal akan jadi ikhlas. Hanya amalan yang ikhlas sahaja yang sampai ke tahap ihsan. Iaitu setelah Berjaya beramal seolah-olah melihat Allah ataupun terasa Allah melihat dirinya. Terasa Allah tahu tentang rahsia di hatinya dan amat hampir dengan dirinya.



Setelah taraf hamba Allah berjaya dicapai, maka barulah seseorang itu dapat menyerahkan dirinya seluruh jiwa dan raga untuk Allah lahir dan batin. Mereka inilah yang dimaksudkan dengan seorang yang ikhlas hatinya (Muhsinun). Bagi orang yang muhsin, pahalanya disimpan oleh Allah SWT. Mereka hidup tanpa ada sebarang rasa takut atau dukacita. Justeru, kehidupan orang yang ikhlas tidak akan menempuh apa-apa yang mendukacitakan. Sebab mereka sentiasa redha dan bahagia dengan pelbagai kurniaan kebaikan dan keredhaan yang Allah mahu dan tentukan. Bukannya yang orang lain mahu atau tantukan buat mereka.

No comments: